Sunday, April 3, 2011

SPR jangka lebih 1,000 borang pencalonan dibeli

2011/04/03

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan lebih 1,000 borang pencalonan dibeli menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10, Rabu ini. 

Setakat semalam, hampir 700 borang sudah beli oleh parti politik serta individu, tetapi Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata jumlah borang yang dibeli tidak semestinya menggambarkan jumlah calon bakal bertanding pada 16 April nanti.
“Kebanyakan parti politik serta individu yang membeli lebih satu borang kerana bimbang berlaku kesilapan ketika mengisi borang. Kita tiada masalah jika ramai mahu beli borang kerana jumlahnya mencukupi.
“Mengikut pada Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lalu, biasanya SPR menjual lebih 1,000 borang. Ini demokrasi dan kita tidak ada masalah jika mereka membeli seberapa banyak borang, malah kita menjangka penjualan borang akan bertambah hangat menjelang hari penamaan calon,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Setiap set borang pencalonan bagi pilihan raya negeri kali ini dijual pada harga RM20, sekali gus membolehkan SPR mengumpul lebih RM20,000 jika berjaya menjual lebih 1,000. Mereka yang ingin bertanding perlu mengemukakan deposit RM5,000 pada hari penamaan calon dengan pembayaran dibuat atas nama calon, bukan parti. 

Mengenai kempen pilihan raya yang sudah digerakkan sesetengah parti politik walaupun belum memasuki tempoh sebenar berkempen, beliau berkata, buat masa ini perkara itu masih lagi di bawah pemantauan polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT). 

“Akta SPR akan mula berkuatkuasa bermula tempoh penamaan calon, Rabu ini. Hasil pemerhatian kami kedua-dua belah pihak kini sudah memulakan kempen masing-masing,” katanya. 

No comments:

Post a Comment