KUCHING, Khamis - Rakyat Sarawak harus yakin dengan setiap strategi yang sedang dilaksana serta perancangan kerajaan pusat dan negeri kerana hanya pimpinan Barisan Nasional (BN) mempunyai keupayaan untuk melaksanakan semua inisiatif berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan BN amat komited untuk terus memastikan pembangunan Sarawak berterusan bagi menjadikan negeri ini berdaya maju.
"Kita memang sudah membangun namun Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) masih tidak berpuas hati. Ini kerana beliau (Najib) rasa masih banyak usaha perlu
dilakukan supaya Malaysia khususnya Sarawak terus maju serta pesat membangun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Mesra Rakyat 1Malaysia di Kampung Haji Baki di sini, malam semalam.
Hadir sama calon BN Batu Kawah Tan Joo Phoi dan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Batu Kawah Datuk Ahmad Ibrahim.
Menurutnya, kerajaan mewujudkan pelbagai inisiatif ke arah mencapai status negara maju termasuk Program
Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan transformasi politik.
Justeru, katanya, semua rakyat termasuk di Sarawak perlu mensyukuri usaha kerajaan kerana mereka sentiasa berada dalam keadaan terbaik terutama dalam aspek perpaduan.
"Rakyat negeri ini perlu menilai sendiri jasa dan pengorbanan kerajaan terutama dalam melaksana pembangunan," ujarnya.
Tambahnya, apa yang perlu dilakukan masyarakat Sarawak 16 April ini adalah menilai secara lebih arif yang mana baik dan buruk.
"Pembangkang hanya tahu menghasut dan memecahbelahkan perpaduan yang wujud sejak sekian lama di negeri ini.
"Buatlah pertimbangan yang bijaksana. Jangan buat keputusan mengikut emosi," tegasnya.
No comments:
Post a Comment