KUCHING, Rabu - Pengundi muda di Sarawak diyakini akan memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 16 April depan.
Ketua Pemuda BN Sarawak Datuk Haji Fadillah Yusof berkata, berdasarkan program dijalankan sebelum ini, golongan tersebut memberi sokongan yang amat baik.
"Saya amat yakin pengundi muda akan bersama memberi kepercayaan untuk BN agar terus menerajui pemerintahan negeri ini.
"Dari semua program yang kita jalankan, sambutan golongan muda begitu baik sekali," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas taklimat persiapan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) bersama pemimpin-pemimpin tertinggi parti komponen BN Sarawak di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.
Fadillah menjelaskan, kepimpinan dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) juga semakin memahami inspirasi pergerakan pemuda.
"Kita (pemuda) menaruh harapan agar lebih ramai calon di kalangan pergerakan pemuda diketengahkan pada pilihan raya negeri akan datang," ujarnya.
Tambahnya, sekiranya terdapat wakil pergerakan pemuda dicalonkan pada piilihan raya negeri akan datang, beliau akan bertemu dengan mereka bagi menyampaikan kata-kata perangsang.
"Bila sudah disahkan nanti bahawa terdapat calon-calon di kalangan pemuda, saya akan berjumpa mereka untuk memberi kata-kata perangsang dan pesanan," jelasnya.
No comments:
Post a Comment