Saturday, April 2, 2011

Pengundi muda bersama BN bangunkan negara

KUCHING - Pemuda Barisan Nasional (BN) Pusat yakin jumlah pengundi muda yang berdaftar kira-kira 300,000 orang di Sarawak memahami malah menyedari bahawa mereka perlu bersama-sama BN untuk membangun sama ada dari segi ekonomi dan masa depan.

Setiausaha Pemuda BN, Datuk Megat Firdouz Megat Junid berkata, keyakinan itu wujud ekoran kerajaan BN telah banyak melaksanakan program pembelaan kepada warga muda seperti skim Rumah Pertamaku, Karnival Kerjaya Pemuda, Biasiswa Pendidikan Pemuda Barisan Nasional (BN) (YES) dan pelbagai lagi.

Menurutnya, program seumpama itu telah mengembalikan semula keyakinan pengundi muda bahkan turut membuktikan bahawa Pemuda BN bukan hanya berpolitik sahaja tetapi telah benar-benar menjalankan kerja untuk menaik taraf golongan muda.

"Alhamdulillah, pengundi muda tidak mengira dari kalangan bumiputera atau bukan bumiputera sudah dekat dengan BN malah kira-kira 70 peratus pengundi muda tidak mahu berpolitik kerana mereka hanya berpolitik pada waktunya tetapi pada masa sama mereka ingin maju ke depan.

"Pengundi muda adalah golongan yang terikut-ikut, namun setelah kita berjumpa kumpulan sasaran dan menerangkan segala perancangan kerajaan BN termasuk pelaksanaan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score), maka mereka telah memahami berbanding apa yang mereka dengar atau baca dalam blog pembangkang sebelum ini," katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri mesyuarat bersama Ketua Pergerakan Pemuda BN Sarawak, Datuk Fadillah Yusof di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jalan Bako di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Megat Firdouz memberitahu, Pemuda BN Pusat akan membantu Pemuda BN negeri terutamanya dari segi persiapan, penyelarasan untuk berdepan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-10.

Katanya, pergerakan itu juga akan turun habis-habisan serta memberi tumpuan di kawasan yang akan ditandingi oleh calon muda memandangkan kira-kira 25 peratus golongan muda akan diketengahkan pada pilihan raya kali ini.

"Pada masa sama, kita akan turut membantu setiap kawasan lain bagi memastikan Pemuda BN dapat berjumpa dengan semua pengundi muda yang berdaftar bagi menerangkan kepada mereka mengenai masa depan dan harapan bahawa BN satu-satunya parti yang memberi kejayaan kepada generasi muda.

"Malah, Pengerusi Pemuda BN Pusat, Khairy Jamaluddin juga turun padang bagi menerangkan mengenai harapan dan perancangan BN selain kejayaan yang dicapai sebelum ini dan masa depan untuk generasi muda malah BN adalah satu-satunya parti yang ada hubungan dengan generasi tersebut," tambahnya

Utusan Sarawak, 2 April 2011

No comments:

Post a Comment