Saturday, April 2, 2011

Pemuda BN dekati rakyat tangkis tohmahan pembangkang

KUCHING - Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak akan mendekati rakyat hingga ke peringkat akar umbi untuk menangkis segala tohmahan liar pembangkang.

Ketuanya, Datuk Haji Fadillah Yusof berkata, pendekatan tersebut lebih menumpukan kepada penerangan mengenai dasar perjuangan sebenar BN agar rakyat lebih memahami.

"Kita akan berdepan dengan segala cabaran pembangkang namun yang lebih utama jentera pemuda BN akan pergi ke peringkat akar umbi untuk memastikan rakyat Sarawak memahami segala perjuangan BN," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Pergerakan Pemuda BN di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu di sini, hari ini.

Menurutnya, Pemuda BN Sarawak juga mempunyai unit media untuk memantau segala muslihat pembangkang yang pada masa ini lebih gemar menyerang pemimpin dan parti pemerintah menerusi internet atau blog.

"Kita akan berdepan dengan mereka di alam siber dan realiti bagi memastikan mereka tidak mempengaruhi rakyat dengan tohmahan liar dan kritikan tidak berasas," ujarnya.

Fadillah yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, tumpuan pemuda sekarang adalah untuk memastikan BN menang dengan lebih baik berbanding pilihan raya lalu dan bukannya ramalan.

"Saya tidak menumpukan kepada ramalan sebaliknya memberi perhatian kepada apa yang kita boleh laksanakan untuk memastikan BN menang," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Fadillah menjelaskan, Pergerakan Pemuda BN juga akan memulakan beberapa program merangkumi pelancaran jentera BN Sarawak dan Jelajah One Malaysia bermula esok (2 April) dan berakhir 3 April.

"Program yang kita adakan ini turut disertai Ketua Pemuda BN Pusat Khairy Jamaluddin dan Naib Ketua Pemuda BN Pusat Datuk Razali Ibrahim," jelasnya.
Utusan Sarawak, 2 April 2011


No comments:

Post a Comment