Sunday, April 3, 2011

Majlis fatwa perhalusi gerak tari poco-poco

Oleh Hazirah Che Sab dan Baharom Bakar
zeehan@bharian.com.my
2011/04/03

KUALA LUMPUR: Majlis Fatwa Kebangsaan akan mengadakan kajian menyeluruh mengenai tarian poco-poco terlebih dulu sebelum memutuskan sama ada untuk membincangkan mengenai perkara itu dalam mesyuarat akan datang.

Pengerusinya, Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Hussin, berkata buat masa ini tiada cadangan mengharamkan tarian berkenaan walaupun pengharaman itu sudah dilaksanakan di negeri Perak.

“Bagi saya isu ini tidak serius untuk kita dapatkan keputusan dalam kadar segera. Banyak lagi perkara penting lain yang perlu dibincangkan.

“Kami juga akan mengadakan kajian dan melihat hasil kajian secara menyeluruh. 
“Apa yang diputuskan di Perak tertakluk kepada negeri itu saja. Pada peringkat Persekutuan, ia belum diharamkan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, bahawa Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memutuskan tarian itu sebagai haram kerana mempunyai unsur kepercayaan agama lain iaitu Kristian, selain pemujaan roh dan pewartaan fatwa berkenaan akan dibuat tidak lama lagi.
Dalam penjelasannya kelmarin, Harussani berkata keputusan untuk mengharamkan senaman itu dibuat selepas melakukan kajian mendalam mengenai pelbagai aspek tarian itu daripada sudut hukum Islam, bukan dibuat berasaskan lojik akal.

Sementara itu di KUALA TERENGGANU, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat, berkata Terengganu belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk mengharamkan senaman poco-poco seperti diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak (JFNP), tetapi bersedia mengeluarkan arahan pengharaman selepas mendapat kata putus daripada Majlis Fatwa Kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, kerajaan negeri bersedia mematuhi apa juga arahan yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan termasuk isu yang membabitkan senaman poco-poco. 

Bagaimanapun, katanya, senaman itu yang berbentuk tarian belum lagi dikenali dan diikuti secara meluas oleh penduduk di negeri ini, walaupun Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) pernah memperkenalkan senaman itu beberapa tahun yang lalu.

“Kita dimaklumkan YPKT mempunyai beberapa pelatih yang mahir untuk mengendalikan senaman poco-poco, tetapi senaman berkenaan kurang mendapat perhatian masyarakat Islam di negeri ini.

“Secara peribadi saya katakan, senaman poco-poco yang diiringi pelbagai muzik ketika diadakan boleh menyihatkan badan dan YPKT sebelum ini mengadakan program berkenaan di dalam dewan tertutup,” katanya. 

No comments:

Post a Comment