Friday, April 15, 2011
KEKALKAN KERAJAAN BN
A AZIZ DERAMAN
(Tulisan ini adalah suatu pernyataan ikhlas penulis selaku pemerhati politik)
Selepas penamaan calon pada 6 April lalu, suasana politik Sarawak memang tenang. Di Sarawak tidak ada orang buat kacau, baling botol, maki hamun dan mengherdik. Ada ilmu untuk orang Semenanjung belajar cara Sarawak. Sehingga beberapa hari sesudah penamaan calon pun, perang poster seperti gambaran di Semenanjung pun jua tidak terjadi.
Poster ada di sana sini, secara kecilan, tetapi tidak sehingga merentangi jalan, menyusahkan laluan atau menutupi bangunan gedung perniagaan. Tenang-tenang politik Sarawak, tetapi ‘air yang tenang jangan di sangka tiada buaya’.
Perumpamaan itu sangat kena dengan fenomena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini. Parti politik dari Semenanjung bagaikan ‘buaya’ yang menyerang dan mengganas.
Jembalang dari Semenanjung pun banyak, usik sana usik sini, mengganggu ketenteraman cara Sarawak. Penulis berani mengatakan begitu, kerana kebetulan pada hari SPR mengisytiharkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak 23 Mac, penulis berada di Kuching.
Begitu juga pada hari penamaan calon 6 April. Pada 9 hingga 12 April ini pun penulis berada di sana. Penulis sudah beberapa kali berada di Sarawak sejak Januari yang lalu.
Jenama ‘Jembalang’ yang diberikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri itu sangat tepat. Rakyat Sarawak kena berhati-hati dengan ‘Jembalang’ politik dari Semenanjung itu, satu badan berkepala tiga (DAP, PKR dan PAS) yang tidak pernah sehala tujuan. Rakyat Sarawak memang kena tolak yang sudah ditolak. PKR sedang runtuh, sudah dimakan anai-anai dari dalam. DAP menutup mulut setiap yang hak dan PAS sekian lama menutup mata tidak mahu melihat akan kebenaran, kemajuan dan kemakmuran. PKR senantiasa memekakkan telinga. PR dari tapaknya di Semenanjung hanya datang untuk mengacau ketenangan Sarawak, walhal mereka tidak pun fasih tentang selok-belok budaya dan sistem yang diperlukan rakyat Sarawak.
Seorang sahabat di Kuching menyalinkan sms kempen pembangkang yang berbunyi "Kepada pengundi Sarawak, turunlah semasa hari pengundian DUN Sarawak kelak, masa inilah rakyat berkuasa. Masa ini juga kita pula tipu BN ambil duit, minta projek mi segera tapi undilah PR untuk dapat menghancurkan kuasa Taib Mahmud…cukuplah berubahlah undi kita kali ini."
Ada papan iklan kartun yang menarik di Kuching, dilukiskan Anwar menutup telinga kiri kanannya, Haji Abdul Hadi menutup mata dan Kit Siang menutup mulut. Tafsirkanlah maksudnya, rahsia apa yang mereka tidak mahu dengar, tidak mahu lihat dan tidak mahu suarakan?. Taib bukan ‘must go’, tetapi ‘must go on’! Apalah erti ‘Change’, kerana konsep ‘Transformation’, jauh lebih menyeluruh dan luas.
Kata mereka pilih pembangkang demi ‘Progress’, tetapi rakyat mesti ingat sebenar-benarnya ‘Don’t take progress for granted’.
Sebagaimana jaminan dan janji PM Datuk Seri Mohd Najib bahawa BN telah menyediakan pelan peralihan kuasa selepas PRN kali ini. Rakyat Sarawak tidak perlu ragu. Perubahan akan dilakukan dan peralihan kuasa akan berjalan sesempurna mungkin. Maka sebab itulah Pengerusi BN itu mengingatkan rakyat Sarawak jangan terlalu taksub untuk berubah. Pembangkang hanya tahu berbohong dan mencaci, tetapi tanpa agenda bererti. Rakyat Sarawak hendaklah menolak parti-parti pembangkang, apalagi yang berasal dari Semenanjung. PR itu tidak sesuai, cakap tidak serupa bikin, lebih banyak menebar hasutan, fitnah memfitnah dan menjanjikan apa sahaja yang bukan-bukan bahkan di luar batas keadilan.
Kenapakah DAP perlu menghasut orang Cina?. Sesungguhnya suara rakyat keturunan Cina akan lebih padu melalui BN. Orang Cina Sarawak jangan cuba menukar selera, sebab padahnya tidak terduga. Lihat apa berlaku di negeri-negeri di bawah pembangkang. PR tidak
berdaya di Perak, kelam kabut di Pulau Pinang dan haru biru di Selangor. Apakah yang boleh diharapkan kalau mereka berkuasa?. Sebaliknya semua lapisan rakyat sepatutnya mensyukuri nikmat pembangunan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).
Orang Cina tahu bahawa segala kemudahan pembangunan kota dan infrastruktur menjadi kemudahan hidup yang luar biasa. Rakyat sedih jika tiada kepimpinan dari kalangan kaum Cina yang berfikiran matang dalam BN. Masyarakat Cina Sarawak yang diiktiraf memberi sumbangan besar kepada kemajuan ekonomi di sana memang perlu meneruskan sokongan padu kepada BN. Masa depan orang Cina di Malaysia jauh lebih baik berbanding dengan negara-negara lain. Jangan terpengaruh dengan taktik politik pembangkang dari Semenanjung. Rakyat Sarawak hendaklah berikan lebih daripada majoriti dua pertiga kepada BN.
DAP memang menaruh impian besar untuk menguasai pemerintahan, menunggangi PKR dan PAS. Fokus mereka adalah kawasan bandar-bandar. Isu-isu tentang pendidikan Cina, kuota ke institusi pengajian tinggi, biasiswa, ekonomi, status bahasa, budaya kaum Cina dan pelbagai tuduhan negatif terhadap kerajaan BN menjadi topik pilihan mereka. Ada fitnah dan pembohongan besar.
Orang Sarawak mesti berhati-hati dengan ‘Si Bujang Senang’ atau awasi ‘Jembalang’ anggota PR yang akan meratah jasad dan roh mereka atau yang akan menyebabkan ketidaktentuan masa depan.
Pilihan raya bukan tempat melepaskan dendam. Hatta bumiputera Sarawak pun mesti bersatu. Bersatu atas kebumiputeraan. Jangan sekali-kali lagakan ‘Islam’ dengan ‘Kristian’ yang menjadi agenda hasutan baru itu. Tapis hasutan dan isu-isu perkauman yang bukan-bukan.
Kempen DAP yang menyemarakkan api perkauman sangat berbahaya bagi perpaduan dan kesatuan bangsa di bawah gagasan 1Malaysia. Mereka menidakkan keadilan sosial. Mereka menuduh
kerajaan melaksanakan dasar diskriminasi kaum. Hal demikian itulah yang dijadikan senjata tajam mereka.
Rakyat Sarawak perlu sedar bahawa PR sedang mengheret rakyat penyokong kerajaan itu ke khemah perkauman, cauvinisme dan ketaksuban puak. Tumpulkan senjata itu dengan memberi sokongan kepada BN. Kalau rakyat sudah tahu PR itu bersimpang-siur, tidak sama arah tuju perjuangan, tolak sahaja sebab tidak membawa gunanya.
PR pun tahu bahawa politik pembangunan pegangan BN Sarawak telah berjaya dibuktikan. PR tidak ada arah tuju yang jelas. Rakyat pun sudah dengar pelbagai pendedahan buruk tentang PR sepanjang kempen berjalan. Cuba renungkan ucapan para pemimpin BN baik dari Semenanjung mahupun dari Sarawak sendiri. Mereka bercakap dalam satu suara dan satu nada. Kejayaan BN sudah terbukti sejak merdeka.
Kebijaksanaan menangani isu-isu ekonomi, sosial dan kebudayaan melalui hikmah politik BN
mestilah diberikan sokongan yang padu. BN amat bersatu, berfikir dan bertindak. Parti komponen orang Cina dalam BN jangan terikut rentak PR khususnya DAP.
Seluruh bumiputera tanpa mengira Melayu, Melanau, Iban, Bidayuh, Orang Ulu, dan setiap suku bangsa mesti bersatu. Rakyat Sarawak hendaklah berhati-hati, sebab 16 April 2011 ini adalah tahun penentu kerajaan negeri. Rakyat Sarawak tidak ada pilihan untuk menukar Kerajaan, kecuali meneruskan kesinambungan pemerintahan BN.
[Datuk A Aziz Deraman ialah Mantan Ketua Pengarah DBP dan seorang budayawan, bekas
pegawai tinggi PTD yang berkhidmat selama 33 tahun di beberapa kementerian dan agensi
kerajaan)
Utusan Sarawak, 14 April 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment