Saturday, April 2, 2011

Jangan abaikan tanggungjawab mengundi

KUCHING - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berharap peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-10 pada 16 April ini melebihi 62 peratus.

Pengarah SPR Sarawak Datu Haji Takun Sunggah berkata, setakat 31 Disember tahun lalu bilangan pengundi berdaftar di Sarawak mencecah 997,796 orang.

"Kalau semua mereka keluar mengundi, kita yakin peratusan keluar mengundi pada pilihan raya akan datang melebihi 62 peratus.
"Saya berharap semua pengundi berdaftar keluar mengundi bagi meningkatkan peratusan sekali gus menjadikan pilihan raya di Sarawak terbaik di seluruh Negara," nasihatnya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Sarawak pada Taklimat Pengurusan Pilihan Raya dan Peranan Media Semasa Pilihan Raya di sini, hari ini.

Seramai 100 pengamal media tempatan dan nasional menghadiri taklimat tersebut yang dikendalikan oleh Pengarah Akademi SPR Malaysia Haji Abdullah Jusoh.

Menurut Takun, pada pilihan raya 2006, bilangan keluar mengundi di Sarawak sebanyak 62 peratus daripada bilangan keseluruhan pengundi berdaftar pada masa tersebut.

Beliau turut menasihati golongan muda supaya mendaftar sebagai pengundi bagi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

"Golongan muda harus menyedari akan tanggungjawab sebagai warga negara (Malaysia). Kita menjalankan pendaftaran pengundi setiap hari.

"Kalau mereka (golongan muda) sudah mencapai usia 21 tahun, maka segeralah mendaftar sebagai pengundi," ujarnya.
Utusan Sarawak, 2 April 2011

No comments:

Post a Comment