Pehin Sri Taib pada masa sama tetap berpendirian bahawa dirinya secara peribadi tidak akan terpedaya dengan desakan dan perangkap pemimpin pembangkang yang inginkannya berundur dan mengumumkan tarikh khusus untuk berbuat demikian.
Ini kerana jelasnya, pakatan pembangkang sebenarnya amat mengetahui kemampuan diri mereka yang tidak dapat memerangkapnya dengan desakan seumpama itu.
"Mereka (pembangkang) tahu mereka tidak boleh memperdayakan saya kerana mereka sendiri mempunyai banyak krisis dalaman malah gagal mengurus parti mereka sendiri.
"Kami (BN) tidak begitu naif apabila mengatakan mahu melakukan perubahan dan kemudiannya terus nyatakan tarikh khusus," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) di sini hari ini.
Terdahulu, beliau diminta mengulas mengenai desakan dan dakwaan pembangkang yang kononnya mengatakan pengumuman hasrat persaraannya yang dilakukan sebelum ini adalah semata-mata untuk meraih undi rakyat pada pilihan raya negeri ke-10, 16 April ini.
Mengulas perkara sama, Pengerusi BN Sarawak itu juga memberitahu pengumuman pengundurannya sebagai Ketua Menteri harus dilihat sebagai satu proses peralihan yang teratur dan terancang.
Isu peralihan kuasa itu tegasnya tidak harus disifatkan sebagai modal kempen BN bagi menghadapi pilihan raya negeri ke-10 kelak.
"Kita kena buatnya dengan cara yang betul dan sempurna dan saya tidak akan ikut telunjuk mereka yang gagal menguruskan parti sendiri," katanya.
Utusan Sarawak, 13 April 2011
No comments:
Post a Comment