Friday, April 8, 2011

BN umum manifesto

SIBU, Khamis - Barisan Nasional (BN) mengumumkan manifesto parti itu hari ini, bertemakan "Jaminkan Masa Hadapan Anda Dengan BN' yang menggariskan sembilan perkara utama dalam usahanya untuk mengekalkan kemenangan penting dalam pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April ini.

Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud melancarkan manifesto itu pada satu
majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan MUC, di sini.

Teras utama manifesto dengan slogan "Rakyat Makmur Kehidupan Selesa Negeri
Aman" adalah:
1. Memelihara keamanan, keharmonian, kestabilan dan tadbir urus yang baik untuk
Sarawak;
2. Memelihara alam sekitar, budaya, warisan dan kepercayaan semua kaum;
3. Menyediakan peluang pekerjaan untuk semua;
4. Menjana lebih banyak peluang perniagaan untuk semua;
5. Menyediakan peluang pendidikan untuk anak-anak kita;
6. Menjamin hak rakyat ke atas tanah mereka dipelihara;
7. Meningkatkan mutu dan kualiti hidup golongan yang miskin dan kurang bernasib
baik;
8. Memastikan mutu jalan raya, bekalan air dan elektrik, khidmat kesihatan dan
perumahan sentiasa dipertingkatkan;
9. Mempunyai rancangan jelas untuk memastikan Sarawak berada di landasan ke
arah menjadi negeri terkaya di Malaysia.
BN menjadi parti politik pertama melancarkan manifesto bagi pilihan raya
negeri ke-10.

Parti pembangkang, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijadual melancarkan manfesto mereka serentak di sini esok. SNAP pula mengedarkan manifesto parti itu melalui calon-calon.

Manifesto BN yang diterbitkan dalam empat bahasa - Bahasa Malaysia, Inggeris, Iban dan bahasa Cina memuatkan perutusan Taib, yang antara lain menyebut tentang pencapaian BN dan rancangan yang akan dilaksanakan kerajaan pada tahun-tahun mendatang.

Manifesto setebal 32 muka surat itu turut memperincikan sektor-sektor yang menjadi teras kerajaan BN dalam bidang-bidang utama.

Bertajuk "Bersama Memajukan Sarawak: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", antara topik yang diliputi adalah tadbir urus yang baik, pengurusan alam sekitar, peluang perniagaan dan pekerjaan di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), pendidikan, pembaharuan pajakan tanah dan hak milik tanah.

Selain itu, risalah itu turut memberi penjelasan mengenai kemudahan jalan raya, bekalan air dan elektrik di bawah inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara, usaha kerajaan BN untuk membasmi kemiskinan dan menyediakan kepada golongan kurang bernasib baik.

Ia turut menjelaskan usaha-usaha kerajaan untuk mengurangkan beban kesan akibat kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Taib, ketika ditemui pemberita kemudian, berkata kerajaan BN mempunyai rekod perkhidmatan yang baik.

"Kami mempunyai segala jentera dan bekerja untuk mentransformasikan negara dan tiada sesiapa lain di negara ini dapat melakukannya. Tiada parti, jauh sekali PKR boleh melakukannya," katanya.

Beliau berkata calon-calon BN dipilih dalam kalangan mereka yang boleh membentuk kerajaan berkesan bagi memastikan masa depan yang terjamin.

Bernama, 8 April 2011

No comments:

Post a Comment