Monday, March 21, 2011

DUN Sarawak dibubar esok

Oleh Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Naim Tahir dan Misiah Taib
www.bharian.com.my
2011/03/20

NAJIB bersama Muhyiddin, Taib  dan barisan kepemimpinan BN melaungkan 1Malaysia pada majlis  Sejiwa Senada di   Serian, semalam.
NAJIB bersama Muhyiddin, Taib dan barisan kepemimpinan BN melaungkan 1Malaysia pada majlis Sejiwa Senada di Serian, semalam.
 
Abdul Taib tetap bertanding, terajui kempen BN menangi pilihan raya

KUCHING: Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud semalam menamatkan teka-teki mengenai Pilihan Raya Negeri apabila mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) esok sambil mengesahkan beliau akan bertanding dan terus menerajui kerajaan negeri sehingga tempoh sesuai melaksanakan peralihan kuasa.
Abdul Taib yang sudah 48 tahun aktif dalam politik dan 30 tahun menerajui Sarawak berkata, Yang di-Pertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin sudah memperkenankan keputusan itu dan notis pembubaran akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut.
SPR dalam kenyataannya malam tadi menyatakan mesyuarat khas akan diadakan Rabu ini di sini, diikuti penyerahan writ pilihan raya kepada semua pegawai pengurus pilihan raya di 71 kawasan DUN Sarawak dan sidang media bagi mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian.

Bagaimanapun, sudah ada desas-desus menyatakan hari penamaan calon adalah pada 6 April diikuti pengundian pada 16 April.

Pada sidang media bersama Datuk Seri Najib Razak di Lapangan Terbang Antarabangsa di sini, sebelum Perdana Menteri pulang selepas menyempurnakan lawatan seharinya ke negeri ini, Abdul Taib yang ditanya mengenai masa depan politiknya berkata, beliau sudah menyuarakan hasrat berundur sejak 2006.

Ditanya sama ada proses peralihan kuasa boleh dilakukan pada pertengahan penggal selepas pilihan raya ke-10 itu, Abdul Taib sekadar menjawab: “Boleh jadi... saya harap semua pihak sudah bersedia (untuk peralihan kuasa) sebab hasrat saya nak lepaskan jawatan pada 2006, tetapi tak menjadi dan saya menangguhkannya.”
Sejak akhir-akhir ini, dua tokoh disebut sebagai pengganti Abdul Taib, iaitu Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Openg dan Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Pada majlis Sejiwa Senada dihadiri Najib dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Serian sebelum itu, Abdul Taib ketika berucap di depan lebih 10,000 penduduk berkata, kemungkinan beliau bersara sudah dekat, tetapi akan menerajui pilihan raya kali ini untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).

“Selepas itu (pilihan raya), saya akan serahkan kepemimpinan kepada satu pasukan yang boleh bekerja dengan semua kaum... Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum. Saya sudah lama berkhidmat dan tahu akan tiba satu ketika saya harus pergi,” katanya dan memberi jaminan cita-cita membangunkan seluruh Sarawak tidak akan mati walaupun sudah bersara.

Sementara itu, Najib berkata, Ketua Menteri Sarawak itu memerlukan masa menentukan penggantinya.

“Siapa penggantinya akan dapat ditentukan dalam keadaan parti dan kerajaan terus stabil dan kuat, tidak berlaku pergolakan. Sebab itulah kita pentingkan beliau mengetuai pilihan raya ini dan bila sampai masa paling sesuai (peralihan kuasa), beliau akan maklumkan kepada saya,” katanya.

Terdahulu ketika menyentuh perkara sama dalam ucapannya, Perdana Menteri memberi jaminan proses peralihan kuasa kepemimpinan kerajaan negeri akan dilakukan penuh tertib dan tersusun, sekali gus meminta semua pihak menyerahkan soal itu kepada beliau dan Abdul Taib.

“Saya dapat bayangkan Tan Sri (Abdul Taib) berharap apabila beliau meninggalkan pentas (berundur), beliau dapat meletakkan pimpinan yang kukuh, stabil dan diterima semua pihak. Beliau tahu dan faham, saya boleh pastikan beliau memang bersedia (berundur) bila tiba masanya. Jadi, janganlah terus mendesak serta membangkitkan isu kerana yang penting proses itu berjalan lancar,” katanya.

Mengenai hasil lawatannya, Perdana Menteri berkata, beliau gembira suasana dilihatnya sepanjang lawatan sehari ke negeri ini.

“Nampaknya mood dan suasana dalam lawatan saya amat baik dan Muhyiddin pun beritahu lawatannya pun dapat sambutan menggalakkan. Dalam keadaan sedemikian, kita optimis... insya-Allah sokongan kepada BN pada tahap terbaik, tapi kita mesti atur langkah tepat, bijak dan pastikan jentera bergerak dengan lancar dan mesti kerja kuat.

“Semua mesti disusun rapi dan buat keputusan tepat lebih-lebih lagi calon yang kita pilih, mesti calon boleh menang,” katanya.

No comments:

Post a Comment